KUCHING: Selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan diarah melaksanakan program bahasa peringkat masing-masing sepanjang bulan itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri, berkata langkah itu adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan serta bahasa komunikasi.
"Kegiatan-kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan akan dipertingkatkan sepanjang bulan ini untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat kita," katanya pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan, peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelbagai acara yang dianjurkan sepanjang bulan ini memberikan kesempatan kepada rakyat untuk membabitkan diri dalam pelbagai kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan.